Rabu, 27 November 2013

Istiqamah


  
Diriwayatkan dari Aisyah ra : "Seseorang bertanya kepada Nabi Muhammad SAW, “Apakah amal (ibadah) yang paling dicintai Allah?” Nabi Muhammad SAW bersabda,” Amal (ibadah) yang dilakukan secara tetap meskipun sedikit”(Hadis Riwayat Bukhari) Pada masa sama, perlu ada keseimbangan supaya kedua-dua tuntutan dunia dan akhirat dapat disempurnakan sebaiknya seperti sabda Rasulullah SAW bermaksud: “Beramallah untuk duniamu seolah-olah kamu akan hidup selama-lamanya, dan beramallah untuk akhiratmu, seolah-olah kamu akan mati besok pagi.” (Hadis riwayat Ibn Asakir) Istiqamah bermaksud kita menempuh jalan (agama) yang lurus (benar) dengan tidak berpaling ke kiri mahupun ke kanan. Istiqamah ini mencakupi pelaksanaan semua bentuk ketaatan kepada Allah samaada zahir dan batin dan meninggalkan semua bentuk larangan-Nya. Apabila hati telah istiqamah dalam makrifat kepada Allah, dalam takut pada-Nya, pengagungankan-Nya, malu pada-Nya, cinta pada-Nya, berhajat pada-Nya, keinginan pada-Nya, harapan pada-Nya dan berdoa dan bermunajat pada-Nya, tawakkal pada-Nya dan berpaling dari selain-Nya maka organ tubuh lainnya akan istiqamah. Kerana sesungguhnya hati adalah komanden seluruh organ tubuh dan yang lain adalah prajurit. Jika kita ingin anggota tubuh badan kita istiqamah maka istiqamahkanlah hati kita dengan Iman. Dan iman ini tidak akan berlaku istiqamah, kecuali lisan kita telah istiqamah terlebih dahulu, sebagaimana yang pernah Rasulullah S.A.W. bersabda maksudnya :"Tidaklah iman seorang hamba itu lurus (istiqamah) hingga hatinya istiqamah, dan hatinya tidak akan istiqamah kecuali lisannya telah istiqamah." (Hadis Riwayat Ahmad) Sahabat yang dimuliakan, Marilah sama-sama kita melakukan amal ibadah soleh, amal ibadah dan amal kebajikan secara bersungguh-sungguh, ikhlas, sederhana dan berterusan (istiqamah). Setiap amalan kita akan dinilai dan diberi ganjaran pahala oleh Allah SWT. Ingatlah bahawa hidup di dunia ini hanya sementara dan kehidupan di akhirat adalah kehidupan yang kekal abadi.